Details
September 01, 2019
Utusan Borneo Online : Fiesta air unik, menarik dan pererat perpaduan penduduk Sibu Jaya
 
Fiesta air unik, menarik dan pererat perpaduan penduduk Sibu Jaya
 
Utusan Borneo Online  /  2019-09-01T00:30:01+08:00

CERIA: Lau (belakang, kanan) ketika bersama belia pada perasmian Fiesta Air Sibu Jaya, semalam.


RAIKAN BERSAMA: Tai (kanan) dan Azlan (kiri) ketika bersama-sama kanak-kanak pada Fiesta Air Sibu Jaya, semalam.


MERIAH: Kelihatan warga Sibu Jaya berseronok ketika bermain air pada Fiesta Air Sibu Jaya, semalam.

SIBU: Dengan menggunakan air sebagai elemen utama dalam mengeratkan perpaduan, pemaju Sibu Jaya mengambil inisiatif untuk menganjurkan Fiesta Air Sibu Jaya sempena Hari Kebangsaan, semalam.

Pengarah Urusan Pansar Berhad Datuk Jason Tai yang menjadi tetamu kehormat pada majlis perasmian fiesta air itu berkata, apabila pemaju Sibu Jaya memaklumkannya tentang penganjuran acara tersebut agar bersama-sama menganjurkannya, beliau amat berminat kerana ia suatu yang unik dan menarik.

“Mereka menjelaskan elemen air di samping elemen lain seperti logam, kayu, api dan bumi adalah gambaran tentang hubungan simbiotik yang kita semua kongsikan.

“Dan setiap hari dalam banyak cara, kehidupan kita diteruskan. Fiesta ini adalah fiesta kepelbagaian yang sungguh unik,” ujarnya.

Tai berkata, fiesta itu membawa maksud yang sangat bermakna melalui manfaatnya.

“Walaupun pemaju di sini menggunakan cara berbeza untuk melambangkan lima elemen dalam fiesta itu melalui cara yang menyeronokkan, makna yang lebih mendalam di sini ialah kita semua memerlukan satu sama lain untuk berkembang maju. Dan, saya bersetuju dengan pemikiran seperti itu,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Ketua Pegawai Operasi Amcorp Properties Berhad Azlan Baqee.

Azlan, yang datang ke sini dari Kuala Lumpur, bersama kira-kira 50 kakitangan Amcorp berkata beliau gembira berada di Sarawak untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Kami ada di sini kerana Sibu Jaya sentiasa dekat di hati kami. Kami tetap kekal dengan bandar ini walaupun menghadapi cabaran.

“Kami bertahan dan hari ini dengan sokongan anda, Sibu Jaya adalah perbandaran yang meriah. Terima kasih warga Sibu Jaya,” katanya yang turut berucap pada majlis tersebut.

Beliau berkata, Sibu Jaya akan menikmati lebih banyak kemajuan pada masa akan datang.

“Walaupun kita meraikan bersama dengan cara yang menyeronokkan, saya beri jaminan bahawa kita semua bekerja sangat keras untuk membawakan kepada anda perkara yang lebih baik dari segi fizikal dan pembangunan sosioekonomi. Marilah kita bekerjasama supaya anak-anak hari ini mempunyai masa depan yang lebih cerah esok,” tambahnya.

Lebih 10,000 orang membanjiri Sapphire East Business Precinct sejak 22 Ogos lalu untuk memeriahkan sambutan dengan lebih 3,000 memeriahkan fiesta air tersebut, termasuk Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Robert Lau, para peguam, pihak bank dan rakan kongsi korporat.

Terdahulu, anggota bomba tempatan mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dan menyerahkan sijil kepada mereka yang telah mendaftar untuk mengamalkan pencegahan kebakaran di kawasan mereka.

Ini diikuti persembahan Zumba Air yang diketuai Pengerusi Pusat kecergasan Sibu Jaya Suziana Basa.

Para belia di Sibu Jaya diketuai oleh Jaya Wings dan Jaya Angels turut mengambil bahagian dalam pertandingan tarian dan pada sebelah petang mereka menjadi tuan rumah acara bola sepak jalanan.

Pada sebelah malamnya, Fiesta Bumi dan Api akan diadakan dengan persembahan bermain api daripada Rave YMCA.

Fiesta Air akan berakhir pada hari ini jam 10 pagi.
 
Online Enquiry